28 Disember 2009

SENYUM & TAWA (PENAWAR PENYAKIT)

Mampukah anda senyum atau ketawa walaupun anda dalam kesedihan? Tentu sukar rasanya untuk berbuat demikian. Jika anda mampu sekalipun mungkin orang akan mengganggap anda 'tidak siuman'. Bersedih tentu saja dibolehkan tetapi janganlah berterusan bersedih dan menangis sehingga memudaratkan kesihatan.

Cuba amati antara wajah orang yang sentiasa ceria dan wajah orang yang sentiasa murung dan perhatikan juga mereka yang sentiasa tersenyum dan mereka yang tak pernah senyum ataupun payah untuk senyum apalagi untuk ketawa. Tentu sekali anda dapat melihat perbezaan. Wajah mereka yang ceria, sering tersenyum dan ketawa tentu sekali kelihatan berseri-seri dan tidak keterlaluan jika dikatakan nampak muda dari usianya yang sebenar.

Ada sesetengah dari kita bernasib baik kerana dianugerahkan 'wajah senyum' yang mana kalau dia marah sekalipun masih kelihatan seperti tersenyum. Cuba anda perhatikan orang yang dilanda masalah misalnya dan ditambah pula hidupnya tak pernah putus ditimpa pelbagai masalah. Tentu sekali wajahnya kelihatan murung, berserabut dan nampak tua dari usia sebenar. Jika demikian tidak boleh kah kita bersedih dan menangis? Tentu sekali boleh tetapi perlu ada tempohnya. Kala bersedih menangislah sepuas hati dan bersedihlah semahunya. Mungkin seminggu, dua minggu atau sebulan anda berada dalam keadaan demikian dan selepas itu anda perlu berbuat sesuatu bagi meneruskan hidup.

Seseorang yang dapat menerima dirinya sakit dan hidup dalam tempoh yang singkat, lalu menerima keadaan sedemikian dengan tenang dan masih mampu tersenyum dan ceria sebenarnya mempunyai tindak balas lebih baik sebagai terapi selain dari rawatan yang diberikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan