22 Jun 2009

Dilema cinta milik orang

CINTA lahir tanpa diduga apabila hati mula terpikat dengan seseorang lantaran kesamaan minat, sikap ambil berat di samping kekerapan bertemu dan saling mencurahkan rasa.

Pernahkah anda berasa terlalu teruja dengan lelaki sedangkan anda tahu banyak duri yang bakal menghalang perjalanannya?

Barangkali inilah yang dikatakan takdir apabila hati terpaut pada yang sudah berpunya terutama suami orang. Sikapnya yang prihatin, bertanggungjawab, penuh perhatian dan sentiasa di sisi di saat bantuan diperlukan membuatkan hati sentiasa terkenang-kenang.

Lalu bagaimana hendak mengikis perasaan itu kerana anda merasakan bagai bertemu cinta sejati dengan lelaki milik wanita lain?

Jika anda baru belajar menyintai suami orang, renunglah rencana ini yang mungkin sedikit sebanyak membuatkan anda cuak untuk jatuh cinta dengan ‘hak milik orang’ itu.

Si dia tidak berani membuat sebarang komitmen dengan anda
Seorang lelaki yang ada masalah dalam rumah tangganya pasti terasa amat gembira dengan kehadiran anda apatah lagi dia terasa dirinya diberi sepenuh perhatian yang mungkin tidak diperoleh daripada isterinya sendiri. Pasti saban masa dia akan melahirkan rasa bahagianya berada di sisi anda. Ini mungkin kelihatan seperti komitmen terhadap masa depan anda tetapi percayalah, itu hanya kata-kata manis sekadar untuk mendapatkan cinta anda saja.

Hubungan secara sulit
Merahsiakan sesebuah perhubungan itu sememangnya suatu perkara yang meletihkan. Membabitkan diri dalam perhubungan sulit seperti ini akan membuatkan anda kehilangan keyakinan diri kerana anda akan ketinggalan dalam pelbagai aspek perhubungan yang indah. Anda tidak boleh berjalan berdua-duaan dengan bebas dan bangga. Ini kerana anda akan sentiasa diselubungi perasaan takut dan bimbang. Takut orang lain terlihat anda berdua-duaan lalu mengadu kepada isteri si dia. Mati anda kena serang!

Lelaki lebih beruntung
Apa yang dimaksudkan ialah dia dianggap lebih bertuah kerana pada masa sama, tetap mempunyai sebuah keluarga yang akan tetap menyayanginya. Sebaliknya dalam diam, anda pula kerugian kerana terpaksa berkongsi kasih dengan keluarganya yang sah. Bayangkan, anda tidak boleh menemaninya ke majlis kerana sudah pasti dia akan membawa isterinya. Anda hanyalah sebagai teman di kala ingin mengubat kesunyian atau mencari hiburan jika ada masalah di rumah saja.

Si dia akan hilang hormat dengan anda
Jangan terkejut! Walaupun dia jatuh cinta pada anda dan menarik minat anda, di dalam hati lelakinya dia mungkin akan memandang rendah terhadap wanita seperti anda yang mudah terpedaya dan percaya dengan kata-kata lelaki sepertinya. Siapa tahu, mungkin pada awalnya dia sekadar hendak ‘mencuba’ saja. Tidak sangka pula anda benar-benar terpikat. Dalam keadaan seperti inilah yang selalunya akan timbul soal dipermainkan. Habis madu sepah dibuang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan